Lauk Pauk – Daging Masak Hitam

Lauk Pauk – Daging Masak Hitam

Lauk daging masak hitam ini adalah salah satu lauk yang selalu Kak Yan masak kalau ada makan-makan di rumah. Salah satu sebabnya ialah ianya boleh dimasak dahulu dan di frozenkan. Daging masak macam ini, kalau lagi banyak kali di panaskan lagi sedap.

Seingat Kak Yan kalau raya memang ini salah satu lauk yang selalu dihidangkan diatas meja. Kalau rajin sikit, adalah rendang tok sebagai penggantinya.

Masak daging macam ini, super senang. Tak payah guna jintan dan rempah bagai. Rahsia sedapnya ialah pada banyaknya bawang goreng dan kismis yang di kisar.

Kalau boleh guna bawang goreng yang dibuat sendiri dan bawang goreng yang dibeli. Satu berbau wangi dan satu yang ranggup. Gabungan kedua-dua bawang ini yang menjadi ‘shortcut’ kepada kesedapan lauk ini.

Kak Yan guna cili boh yang dibeli untuk memberi warna hitam berkilat. Walaupun Kak Yan memang jarang guna cili boh tetapi untuk menu ini memang wajib. Bukan sahaja sebab nak jadikan ianya berkilat tetapi untuk memberi rasa yang berbeza pada lauk ini.

Nak tahu macamana beza rasanya, cubalah!

Daging Masak Hitam

Bahan-bahannya:
500 gram daging ( direbus dan dipotong nipis)
2 labu bawang besar (dimayang halus)
7 sudu besar cili boh
3 sudu besar bawang goreng ranggup
2 kulit kayu manis
3 bunga lawang
2 sudu besar kismis (dikisar)
2 sudu besar gula
½ sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap biasa
1 cawan minyak
I sudu teh cuka
Bahan Kisar
1 labu bawang besar (ditumbuk)
2 ulas bawang putih)
Cara membuatnya:
Panaskan minyak dan goreng bawang sehingga keperangan, angkat dan toskan
Gunakan minyak yang sama dan masukkan bawang merah, bawang putih, kulit kayu manis dan bunga lawang selama 2-3 minit.
Masukkan cili boh dan masak sehingga terbit minyak
Masukkan gula, kacau sebentar dan kemudian masukkan kicap pekat dan kicap biasa.
Kisar bawang yang digoreng tadi bersama kismis dan masukkan juga bawang goreng ranggup ke dalam kuali.
Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk. Jangan berhenti mengacau.
Apabila dagingsudah empuk, masukkan cuka.
Gaul sebati dan angkat.

Leave a Reply