Go Perak – Rendang Daging Perak Yang Awesome

Go Perak – Rendang Daging Perak Yang Awesome

Semua orang tahu rendang. Sekarang ni nak makan rendang hari-hari pun boleh.

Tak macam zaman dulu, nak makan rendang kena tunggu hari raya sahaja. Kalau kenduri kahwin sekali pun susah nak dapat makan rendang.

Setahun hanya sekali dapat makan rendang iaitu di Hari Raya. Kadang-kadang mengira hari nak raya tu bukannya apa , hanya sebab nak makan rendang.

Masa tu nikmatnya makan rendang tu tak boleh dibawa bincang. Mak kata masa tu orang kampong pelihara ayam hanya untuk merendang di Hari Raya. Kalau daging tu lagilah susah nak dapat.

Kak Yan dapat merasa lagi zaman macam itu. Semua bahan-bahan fresh. Selalunya tugas Kak Yan pergi beli kelapa. Kak Yan tak suka pergi kedai beli barang sebab takut kena kejar angsa. Lagipun nak beli kelapa tu kat jiran sebelah rumah aje (dial ah yang bela angsa garang tu).

Bila kita nak beli barulah Abang Kantan (anak jiran) panjat pokok kelapa. Selepas itu dikupas kulitnya menggunakan besi tajam yang ditanam ke dalam tanah.

Bawak balik kelapa kena kukur pulak. Sebahagian dibuat kerisik dan yang lainnya diperah menggunakan kain kasa supaya elok dan pekat santan yang keluar. Masak rendang ni kelapa kena pekat dan banyak.

Itu baru bab kelapa. Belum lagi bab mengejar ayam, sembelih, basuh, rebus, cabut bulu, potong dan macam-macam lagi.

Huh..dengar aje dah penatkan. Tapi sedapnya makan rendang masa tu tak ada tandingannya.

Bukan sahaja setakat rendang daging ke ayam ke. Paru pun boleh dibuat rendang. Kadang-kadang ikan tongkol pun dibuat rendang. Semuanya sedap. Selain tu udang galah pun seap direndang. (Suami Kak Yan kata dulu-dulu arwah mak dia merendang ikan merah lagi)

Sampai sekarang Kak Yan suka rendang. Suami dan anak-anak pun join the club. Anak-anak  Kak Yan kalau tiap-tiap minggu masak rendang pun tak apa.

Masak rendang ni kena banyak bahannya. Kena banyak bawang, halia, serai , daun kunyit dan santan. Kalau rendang daging Kak Yan bubuh kerisik. Rendang ayam memang Kak Yan tak bubuh.

Selain banyak bahan, merendang ni pun boleh dibuat menggunakan pelbagai Teknik.

1.      Ada orang tumis dulu kesemua bahan-bahan dahulu sebelum masukkan daging dan santan.

2.      Ada yang terjunkan saja kesemua bahan ke dalam kuali dan masak sehingga rendang garing.

3.      Ada orang kisar kesemua bawang, halia dan serai.

4.      Dan ada orang hiris halus-halus semuanya.

Kalau Kak Yan?

Kalau dulu masak depan mak kena masak guna cara 2 dan 4. Kalau tak kena jerit. Tapi sekarang kalau nak cepat Kak Yan guna  cara 1 dan bahan-bahan tu separuhnya Kak Yan kisar dan separuh lagi Kak Yan hiris halus-halus. Ikutla je keperluan masa memasak tu kan.

Rendang Daging

Rendang Daging

Bahan-bahannya:
 1 kilo daging
1 kilo santan pekat
1 senduk cili kisar (boleh ditambah dan dikurangkan sedikit)
6 batang serai
2 helai daun kunyit
2 inci halia
3 sudu kerisik
2 keping asamjawa/asamkeping
7 biji bawang merah besar
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan kerisik
 Cara membuatnya:
Ambil separuh dari bawang besar,halia, serai dan kisarkan
Separuh lagi di hiris halus-halus
Hiris daun kunyit
 Potong daging mengikut saiz yang disukai
Satukan kesemua bahan (kecuali kerisik , daun kunyit dan santan) dan masukkan ke dalam kuali
 Masak sehingga daging kecut dan kemudian masukkan santan
Masak sehingga daging lembut dan masukkan daun kunyit dan garam
Akhir sekali masukkan kerisik dan kacau sehingga ianya agak kering





Leave a Reply

Recipe Rating