Jelatah Kacang

Kalau tengok jelatah ini, memang secara automatik teringat kenduri kahwin dulu-dulu. Dulu memang tak ada acar yang cuka tu. Kalau tak acar buah, memang jelatah ini lah yang ada. Wajib ada kalau kenduri kahwin tu ada nasi minyak. Wajib!

Sekarang ini susah betul nak jumpa jelatah ini di kenduri kahwin. Seingat Kak Yan memang dah tak ada. Mungkin jugak jelatah ini hanya ada di negeri Perak. Ye ke.

Kak Yan rasa mungkin jugak nak buat jelatah ini untuk kuantiti yang banyak adalah sedikit sukar. Kosnya pun lebih sedikit. Yang pasti jelatah ini cepat basi. Nak gaul banyak-banyak sekali nanti memang cepat berair dan basi. Mungkin itulah yang menjadikan ianya tidak berapa sesuai untuk dijadikan menu untuk kenduri kahwin.

Jelatah kacang ini memang kegemaran Kak Yan. Kalau raya tak sah tak ada jelatah ini. Selalunya Kak Yan akan gaulkan bahan-bahan dia dahulu dan simpan di dalam peti sejuk. Bila ada tetamu yang datang, baru gaulkan dengan timun, nenas dan sengkuang.

Hanya tiga sahaja bahan untuk sayurnya. Timun, nenas dan sengkuang. Tak boleh tambah dan tak boleh kurang. Rasa masam manis nenas dicampur dengan kerangupan timun dan sengkuang memang ngam. Campur pulak dengan segala cili, kacang, bawang, udang kering dan lain-lain bahan memang melengkapkan satu sama lain. Rasa super sedap. Lawa pun boleh tahan.

Cuma versi Kak Yan ini, Kak Yan tambah sedikit sos cili dan sos tomato. Biar cukup garam dan gulanya. Confirm sedap.

Oh ye, yang ajar Kak Yan resepi jelatah ini ialah sepupu Kak Yan iaitu Arwah Kak La. Semoga segala kebaikan dari resepi ini disalurkan kepada beliau.

Hari tu Kak Yan buat satu bekas besar. Kak Yan sorok dalam peti ais dan dah habis. Kena buat lagi lah ni.

Jump to Recipe

Nak buat. Resepi ada dekat bawah.

Kalau nak tengok Kak Yan buat jelatah dan masak nasi minyak sekali, boleh tengok di youtube Kak Yan dekat bawah ini.

Jelatah Kacang

Bahan-bahan:
1 biji timun
¼ biji nenas
¼ biji sengkuang
4 biji bawang ros
Segengam udang kering
2 biji cili merah
4 sudu besar kacang yang sudah ditumbuk
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
Hiris membulat timun
Potong nenas dan sengkuang dalam saiz yang kecil
Hiris bawang merah
Tumbuk cili merah bersama udang kering. Kalau ada belacan, boleh tambah.
Campurkan bahan tumbuk tadi bersama cili sos dan sos tomato.
Gaul bersama nenas, timun, sengkuang dan bawang merah.
Masukkan kacang tanah.
Gaul rata dan perasakan dengan garam dan gula.

Leave a Reply

Recipe Rating