Lauk Pauk – Rendang Pedas Ikan Tongkol

Lauk Pauk – Rendang Pedas Ikan Tongkol

Ada yang tanya, “Ikan tongkol boleh buat rendang pedas ke?’.

Jawapan Kak Yan, “Memang boleh. Cuma sekarang ini dah jarang orang buat. Kata suami Kak Yan pulak, arwah mak dia selalu juga merendang ikan merah.”

Kalau dulu, lauk ni selalu dijadikan lauk orang kahwin. Digandingkan dengan nasi putih. Memang sedap.

Ikan tongkol memang sesuai dijadikan rendang pedas. Tekstur ikannya yang berkeping dan tidak mudah hancur memang sesuai dimasak rendang pedas. Bila masak lama pun tidak mengapa. Malah lagi sedap rasanya.

Bagi yang nak mencuba, bolehlah ikut resepi di bawah. Tapi buat rendang ni kalau nak tambah lebih lagi santan, bawang, serai dan halia pun boleh. Lagi sedap jadinya.

Kali ini Kak Yan kisar kesemua bahan bumbu sampai jadi halus. Kalau masak rendang pedas ayam atau daging, Kak Yan lebih suka hiris segala bahan bumbunya. Tapi untuk ikan tongkol ni, lebih sesuai segala bahan di kisar halus. Lagi satu kalau nak bubuh kerisik pun boleh . Ikut citarasa sendiri.

Rendang Pedas Ikan Tongkol

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan tongkol(dipotong sebesar 2 inci)
500 gram santan pekat
1 helai daun kunyit dimayang halus
1 keping asam gelugur/asam keping
Garam dan gula secukupnya
Bahan Kisar
3 ulas bawang merah besar
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
3 batang serai
15 tangkai cili kering(direndam terlebih dahulu)
Cara membuatnya:
Masukkan kesemua bahan kisar ke dalam kuali. Biarkan selama 2-3 minit.
Masukkan santan dan asam keping. Masak sehingga naik minyak.
Masukkan ikan, garam dan sedikit gula.
Apabila kuah sudah agak kering, masukkan daun kunyit.Kacau sebati.
Siap.

Leave a Reply