Siakap Kengsom

Siakap Kengsom

Nama sebenar kengsom ialah Kaeng som atau pun gaeng som. Entah kenapa kita memanggilnya kengsom pun tak tahu lah. Mungkin sudah di melayukan dan kita mendengarnya sebagai kengsom sahaja. Apa pun kalau kita cakap masak kengsom maka akan terbayanglah ikan siakap bersama kuah yang berwarna kuning.

Menu ini sangat viral suatu masa dahulu. Kak Yan dah lama teringin nak masak kengsom ini. Sebabnya Kak Yan tahu masakan ini akan di gemari oleh kami sekeluarga. Bila diperhatikan resepinya, kuahnya saling tak tumpah seperti kuah gulai masam yang selalu menjadi menu kesukaan kami sekeluarga. Kena lagi kalau suami Kak Yan yang masak.

Kengsom ini adalah masakan dari selatan Thailand. Pada asasnya kengsom bermaksud kuah yang masam manis dan berwarna kuning. Yang menariknya kengsom ini di padukan lagi dengan sayur kangkung dan nenas. Itu yang menjadikan kuahnya sangat menarik dan juga cantik.

Satu lagi keistimewaan kengsom ini ialah ianya cukup segala-galanya didalam satu masakan. Ada ikan dan juga sayur. Cukup kalau masak satu lauk sahaja. Bak kata orang putih ‘one pot meal’.

Kak Yan sangat puas hati dengan lauk siakap kengsom ini. Ikan siakap memang sesuai untuk menu ini. Kuahnya boleh dihirup dan sayur di dalamnya memang menarik. Simple dan tak berminyak bagai.

Jadi ini adalah salah satu menu yang membuatkan Kak Yan ‘happy’ dan dah jadi list yang teratas mengalahkan tom yam bagi list masakan Thai (bagi Kak Yan lah).

Jadi Kak Yan dah jatuh cinta dengan kengsom ni. Kalau makan tiap-tiap minggu pun Kak Yan tak kisah.

Bagi yang nak mencuba siakap kengsom ini, resepi ada di bawah. Kak Yan pun google sana sini resepi ini. Tapi boleh dikatakan keseluruhan resepi adalah lebih kurang sama.

Dan satu lagi, selain nenas dan kangkung, boleh juga dimasukkan betik yang separuh masak ye. Pun sedap jugak.

Siakap Kengsom

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan siakap (dibersihkan dan dipotong 4 atau 5)
Air asam jawa secukup rasa
1 biji limau nipis (diambil jusnya)
Separuh biji nanas (dipotong tabal sedikit)
1 cekak kangkung (di potong panjang dalam 2cm)
Air secukupnya
Bahan Kisar
2 biji cili merah
10 – 15 biji cili padi hijau
1 inci kunyit hidup
1 biji bawang merah besar
2 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 batang serai
1 inci belacan (optional)
Cara membuatnya:
Didihkan air dan masukkan bahan kisar ke dalamnya.
Masukkan nenas dan air asam jawa.
Masukkan ikan dan biarkan ianya mendidih lagi.
Perasakan dengan garam dan gula.
Masukkan kangkung dan apabila kangkung sudah lembut, masukkan jus limau.
Rasa kuahnya dan apabila sudah secukup rasa, padam api dan hidangkan.

Leave a Reply

Recipe Rating