“Sedapnya kalau dapat makan gulai telur ,” saya berkata sendirian. Hujan dah semakin reda, perut pun dah semakin lapar. Tanda-tanda yang nyata supaya masuk dapur awal dari biasalah hari ni.
Saya ambil telur, basuh bersih-bersih dan terus rebus. Tak nak masak banyak-banyak sebab takut tak habis.
Semenjak anak-anak dah kerja ni kuantiti lauk memang kena dikurangkan. Kadang-kadang mereka tidak makan malam di rumah. Selalu aje kena balik lambat.
Sambil menunggu telur yang direbus tadi masak, saya tumis sayur bayam. Potong halus-halus dan tumis dengan bawang putih dan saya letakkan sedikit sos tiram. Kalau makan tak ada sayur tak best la pulak. Dua lauk sahaja sudah memadai bagi kami sekeluarga. Alhamdulillah.
Teringat sewaktu dulu waktu dikampung, kalau kenduri khatam Quran selalunya masak gulai telur dimakan dengan pulut kuning. Masa dulu bukannya senang nak dapatkan daging dan ayam. Jarang sekali dapat makan.
Harapan nak makan ayam dan daging hanya pada hari raya sahajalah. Itu yang jadi berebut nak makan ayam dan daging sampai boleh bergaduh adik beradik.
Saya dapat resepi ni dekat buku masakan bertajuk Rampaisari Selatan yang ditulis oleh Asiah Samsudin. Buku ni dah lama dah saya simpan dan kalau tak silap saya ianya diterbitkan sekitar tahun 1993.
Sebelum ini saya biasa jugak masak gulai telur berempah tetapi saya tak pernah pulak masukkan daun limau purut. Rupanya apabila dimasukkan daun limau purut ianya menjadi wangi dan lebih sedap.
Saya tambahkan sedikit ikan bilis yang ditumbuk untuk menambahkan rasa. Warna gulainya sangat cantik dan rasanya memang sedap.
Saya memang cadangkan anda mencuba resepi ini.
