Buah strawberry tu dah lama dibeli. Disimpan di dalam peti ais sampaikan dah jadi lembik. Semenjak dua menjak ni selalu aje jatuh cinta dengan buah strawberry. Pantang nampak buah strawberry yang masak ranum, terus aje nak beli. Lepas tu terperuk dalam peti ais tak tau nak buat apa.
Perangai buruk ini masih ada…membeli tanpa ada perancangan terlebih dahulu. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan cara ibubapa saya dulu yang suka stock-up banyak barangan keperluan dapur.
Alasannya ialah kalau ada tetamu yang datang mengejut, taklah susah mana nanti. Tak lah kelam kabut.
Kak Yan dan suami suka menerima tetamu. Bagi kami meraikan tetamu adalah satu kepuasan yang tidak boleh digambarkan. Itu juga menjadikan salah satu sebab Kak Yan suka memasak.
Bila ada tetamu yang nak datang maka berbincanglah kami suami isteri mengenai menu apa yang hendak dimasak, nak pakai alas meja dan pinggan apa dan apa sahaja segala benda mak nenek yang nak dibuat Memang penat tapi puas hati.
Bak kata orang putih…entertaining is fun and it is a soul-satisfying.
Bila Kak Yan mula membakar muffin ni, harum semerbak baunya satu rumah. Lembut dan lembab di bahagian dalam dan garing di bahagian luar memang menjadikan muffin ini sempurna. Sedap sekali. Paling istimewa sebab ada kerak (crumble) yang menambah kesedapan yang tak terhingga.
Muffin tak perlu terlalu manis kerana kita tak nak rasa manisnya menenggelamkan rasa manis buah strawberry.
Potong strawberry tu pulak janganlah sampai hancur. Biarlah saiznya besar sikit sebab nanti bila makan boleh gigit-gigit buah tu.
Emmm…sedap
