Hikayat Ayam Bulat – Lauk Wajib Untuk Pengantin

Hikayat Ayam Bulat – Lauk Wajib Untuk Pengantin

Dulu-dulu nak jumpa hidangan ayam bulat memang susah inikan pulak nak dapat makan.

Nak tengok ayam bulat kena tunggu kenduri kahwin. Itupun orang yang berkahwin (dan sesiapa je yang dapat duduk di meja pengantin) sahaja yang dapat ler merasa makan ayam bulat. Sekali dalam seumur hidup gamaknya. Yang orang lain tu  dapat tengok aje le sambil meleleh air liur.

Pada yang yang tak berapa sure, ayam bulat ialah kepala hidang untuk hidangan pengantin. Maka dihiaslah ayam tersebut secanik mungkin – kalau dulu-dulu sampai guna cili merah diletakkan muncung ayam, balung, mata dan sebagainya. Siap letak telur ayam lagi kat bontot dia.

Masa saya kecik-kecik dulu, ayam bulat inilah antara ‘highlight’ sewaktu kenduri orang kahwin selain dari kugiran. Kalau tak ada ayam bulat diibaratkan kenduri kahwin yang tak sempurna.

Bila diingatkan kembali, dulu-dulu setiap kenduri kahwin ada kugiran, ada joget lambak ada mandi sampan, ada acara menitik inai dan macam-macam lagi .

Lama-kelamaan orang dah makin tak buat dah semua tu. Mungkin orang dah tak cukup masa. Masing-masing ada komitmen sendiri. Ada jugak sesetengah orang yang tak berapa setuju dengan perayaan yang sebegitu. Iyelah orang dah semakin maju dan semakin banyak ilmu.

Saya tengok ayam bulat juga menerima nasib yang sama. Sekarang ni menu ayam bulat ni main asal ada je. Tak  ada dah nak buat ayam bulat cantik-cantik macam dulu2. Ada juga tu dah tak nak buat ayam bulat sebagai hidangan. Tak mahu dah menghias ayam seperti dulu. Sekadar bakar ayam sahaja sudah memadai.

Personally, pada saya sebenarnya ayam bulat ni sinonim dengan pengantin baru. Masa nilah nak bagi pengantin makan lain dari yang lain. Nak menyatakan gembiranya tuan rumah meyambut pengantin baru. Dapat menantu baru. Dapat makan extra dari lauk kenduri. Tapi itulah… zaman pun dah berubah.

Selain itu sudah menjadi tradisi kami juga menjemput pengantin baru dari keluarga terdekat datang ke rumah selepas majlis kahwin. Masa inilah nak jumpa pengantin baru. Nak berkenalan, bersoreh pasal keluarga. Barulah pengantin kenal sedara mara terdekat. For quite some time ianya dah jadi macam satu kemestian buat keluarga kami.

Tapi sekarang dah semakin kurang. Pengantin pergi honeymoon, balik terus masuk kerja dan dah tak ada masa nak bertandang ke rumah sedara mara. Itu yang jadi bila anak dah tiga empat orang masih confuse mak sedara pak sedara mana satu.

Alkisahnya , ayam bulat dalam entry in dimasak sempena menyambut pengantin baru Nina dan Azneel bila dia orang datang bertandang ke rumah kami hujung tahun lepas.. Nina ni kawan Alia semasa belajar di UiTM. Dulu selalu jer lepak kat rumah kami. Satu geng lah ni. Yang ralatnya masa Nina kahwin dulu kami sekeluarga tak dapat datang. Suami dan Alia ada event masa tu.

Tu lah yang kami buat makan-makan untuk Nina dan Azneel selepas majlis perkahwinan mereka di Johor. Siap berayam bulat lagi masa tu. Apa pun sekarang Nina dah ada seorang anak perempuan pun. Nadine namanya. Comel.

Ayam Bulat

Ayam Bulat

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam
4 sudu makan minyak masak
250 g santan pekat
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 helai daun kunyit(Dihiris halus)
Garam dan gula secukup rasa
 
Bahan Kisar
5 biji bawang merah (besar)
5 ulas bawang putih
7 cm halia
2 batang serai
10 tangkai cili kering( Direndam dahulu)
Segengam kismis
 
Cara membuatnya:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing.
Masukkan santan, daun kunyit, serbuk kunyit, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk ketumbar dan perasakan dengan garam dan gula.
Masukkan ayam dan biarkan ayam separuh masak.
Angkat ayam dan bakar di dalam ketuhar selama 30 minit(ikut size ayam)
Teruskan memasak kuah tadi  sehingga kuah pekat.
Letakkan ayam ke dalam pinggan dan curahkan kuah di atasnya.
Hias pinggan dengan daun salad, cili merah dan telur rebus.


Leave a Reply

Recipe Rating