Roti Telur Sardin Berkeju

Roti Telur Sardin Berkeju

Sudah lamanya tak bersiaran di blog ini. Risau dengan diri sendiri, takut sudah bosan dengan blog. Almakhlumlah ramai orang kata blog ni sudah ketinggalan zaman. Dah tak ada orang baca blog. Semua orang lebih gemar singgah di facebook, instagram dan tiktok. Lebih teruja tengok pelbagai resepi dan video masakan di sana.

Memang tak salah begitu. Kak Yan sendiri pun sangat teruja dengan segala perkongsian di platform tersebut. Cantik-cantik gambar dan video makanannya. Resepinya pun sangat menarik.

Bagi Kak Yan blog ini bukan sekadar resepi dan gambar makanan yang cantik-cantik. Ianya lebih kepada jurnal. Bolehlah nanti bila dah tua baca blog ini sambil tersenyum. Lihat balik kenangan lama.

Selain dari itu, tujuan utama Kak Yan buat blog ini ialah untuk mengasah kemahiran menulis. Kak Yan ini bukannya pandai menulis. Kadang-kadang nak tulis caption di instagram pun menung berjam-jam.

Kak Yan teringin sangat dapat menulis seperti blog-blog orang putih yang Kak Yan minat. Gaya penulisan yang santai tapi dapat meresap ke dalam hati. Nak menulis ini bukannya senang. Kadang-kadang tulis berjela-jela pun kalau tak ada seni dan kemahiran, boleh ke laut jadinya.

Jadi dari hari ini Kak Yan akan lebih fokus untuk jadi penulis yang bagus. Kak Yan akan terus berblog sampailah Kak Yan puas hati dengan cara penulisan Kak Yan.

Dalam santai-santai tu Kak Yan nak kongsi resepi yang paling santai tapi menyelerakan. Resepi yang ramai orang tahu tetapi kali ini Kak Yan akan tambah sentuhan tambahan.

Resepi kali ini ialah roti telur sardin berkeju. Kak Yan selalu buat ini masa bulan puasa, tapi kebelakangan ini suka pulak buat untuk sarapan pagi.

Puas makan walaupun seketul sahaja. Kenyang sampai ke tengahari.

Bagi yang dah lama tak makan dan teringin, bolehlah cuba ikut resepi yang Kak Yan bagi di bawah ini.

Roti Telur Sardin Berkeju

Bahan-bahannya:
1 tin sardin kecil
1 biji bawang merah besar (didadukan)
1 biji cili merah (dihiris)
1 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu teh garam
Sedikit jus limau
8 keping roti
8 keping keju
3 biji telur
Minyak
Cara membuatnya:
Masukkan sardin ke dalam mangkuk.
Hancurkan dan gaul bersama garam dan serbuk lada sulah.
Masukkan bawang merah, cili merah dan perah limau . Gaul rata.
Ambil roti dan lenyekkan sehingga nipis.
Letakkan sardin tadi dan keju diatasnya.
Gulung roti dengan kemas dan letak sedikit telur dihujungnya sebagai gam.
Pukul telur.
Panaskan minyak
Celup roti ke dalam telur dan goreng.
Siap

Leave a Reply

Recipe Rating