Masak-masak Serantau – Ayam Selasih Thai/ Pad Krapow Gai.

Masak-masak Serantau – Ayam Selasih Thai/ Pad Krapow Gai.

Kak Yan suka masakan Thai. Pada Kak Yan satu perkataan yang menggambarkan rasa masakan Thai ialah ‘balance of flavour’..

Tak kiralah dari rasa tom yamnya, kari hijaunya, ikan stimnya, som tamnya dan banyak lagi masakan Thai yang lain. Semuanya seimbang dari segi rasa, aroma dan rupanya. Dari rasa masam, pedas dan manis. Semuanya seimbang.

Inilah yang menjadikan masakan Thailand antara pilihan masakan utama di seluruh dunia.

Ayam selasih atau lebih dikenali sebagai pad krapow gai ini pun antara masakan Thailand kegemaran Kak Yan sekeluarga. Cukup segala rasa yang ada didalamnya. Lengkap dan sangat menyelerakan. Makan dengan telur mata kerbau, lagilah sedap.

Ayam selasih ini tak sempurna lah kalau tak ada daun selasih. Syarat utamanya ianya kena ada bau daun selasih yang wangi. Jadi kena ada daun selasih baru lah boleh masak ayam ni.

Begitu juga dengan sos ikan. Kalau tak ada sos ikan, tak kena lah. Selain dari rasanya yang seimbang, baunya juga kena sama padan.

 Baru lah ‘aroi mak mak’.

Ayam Selasih Thai/ Pad Krapow Gai.

Bahan-bahannya:
150-200g isi ayam(dicincang halus)
3 biji cili merah
5 biji cili padi hijau
3 ulas bawang putih
3 sudu makan kicap cair
2 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos ikan
6 helai daun selasih
1 sudu teh garam
2 sudu teh gula perang
3 sudu makan minyak masak
Cara membuatnya:
Tumbuk cili merah, cili padi dan bawang putih kasar-kasar.
Tumis sehingga naik wangi.
Masukkan ayam cincang.
Bila ayam dah masak, masukkan kicap cair, sos tiram dan sos ikan.
Gaul rata dan akhir sekali masukkan garam,gula perang dan daun selasih.

Leave a Reply