Ayam Masak Kunyit

Ayam Masak Kunyit

Semalam Kak Yan masak ayam masak kunyit. Jenuh memikir nak masak apa untuk makan tengahari. Dah tiap-tiap hari masak, lambat laun kering jugak idea nak masak apa.

Mula-mula ingat nak order sahaja ayam masak kunyit dari restoran Mat Rock. Sedap ayam masak kunyit dia. Nasi dia siap tabur dengan kicap lemak manis dan dia bagi sekali sambal belacan. Nasi menambun pun boleh habis.

Tapi suami Kak Yan tak berapa suka . Katanya, beliau tak suka ayam masak kunyit. Emmm….ye ke?

Jadi semalam Kak Yan pun masaklah ayam masak kunyit. Nak suruh Encik Suami rasa ayam masak kunyit Kak Yan yang masak. Suka ke idak?

Kak Yan tak guna kacang panjang sebab badan ni dah tak berapa tahan dengan kacang panjang. Habis berangin satu badan. Jadi Kak Yan gantikan dengan lada benggala hijau. Rupanya lagi sedaplah. Lada benggala tu bagi rasa yang super ummph .

Kak Yan guna isi ayam. Salut sahaja dengan tepung bestari dan goreng sederhana garing. Lobak merah dan lada benggala tu Kak Yan goreng berasingan supaya ianya ranggup dan cantik.

Isi ayam pula dipotong dadu. Bancuh tepung bestari bersama air dan bubuh sedikit serbuk kunyit. Guna minyak yang panas dan goreng sehingga separuh garing.

Ok. Resepi ada di bawah. Kalau nak cuba , dipersilakan.

Yes…Encik suami suka sangat ayam masak kunyit yang Kak Yan masak. Sampai ke malam memujinya.

Ayam Masak Kunyit

Bahan-bahannya:
1 kilo isi ayam (dipotong dadu)
2 cawan tepung bestari
1 biji lobak merah (dipotong bulat)
1 biji lada benggala hijau (dipotong memanjang)
1 biji bawang holland(dipotong memanjang)
2 biji cili merah (dihiris memanjang)
2 biji cili hijau (dihiris memanjang)
6 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos ikan
3 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya
Sedikit air
Cara membuatnya:
Campurkan tepung bestari dengan air dan 1 sudu teh serbuk kunyit.
Panaskan minyak .
Celupkan isi ayam ke dalam tepung dan goreng separuh garing. Angkat dan toskan.
Tinggalkan sedikit minyak dan goreng lobak merah dan lada benggala dalam 2 atau 3 minit. Angkat dan ketepikan.
Masukkan sedikit minyak jika perlu dan tumis bawang putih sehingga wangi.
Masukkan ayam, cili merah dan cili hijau dan sayur ke dalam kuali.
Masukkan sos tiram, sos ikan , serbuk kunyit, gula dan garam jika perlu.
Gaul sebati.
Siap

Leave a Reply

Recipe Rating