Satu lagi pilihan lauk ayam yang bakal menambat hati anda sekeluarga.
Kenapa ayam? Sebab rasanya satu keluarga suka makan ayam. Jadi lebih senang kalau masak satu lauk dan semua orang suka.
Kena lagi kalau bulan puasa. Malas nak masak banyak-banyak lauk. Sebab pertama, memang tak larat nak berlama-lama di dapur dan yang ke dua, malas nak simpan lebihan lauk.
Kalau boleh lauk dan segala juadah habis di makan semasa berbuka atau pun paling teruk tahan sampai sahur sahaja. Lepas itu malas nak simpan dalam peti ais lagi. Esoknya kalau dipanaskan pun selalunya tak berusik.
Berbalik kepada resepi kita hari ini iaitu ayam bakar padang. Ini memang salah satu ayam bakar kegemaran Kak Yan. Cukup segala rempah di dalamnya dan yang paling pasti baunya memang semerbak wangi.
Memasaknya seperti memasak ayam percik tetapi ramuannya agak berbeza. Pasti lah ayam bakar yang berasal dari negara jiran ini banyak menggunakan segala daun-daun yang mempunyai pelbagai rasa dan aroma. Hasilnya, terhasillah ayam bakar yang sangat unik rasanya. Bumbunya meresap sempurna dan rasa ‘smoky’ nya sangat menyerlah. Sedap dan sangat sedap.
Untuk menambahkan lagi kesedapan ayam ini, ianya boleh dimakan bersama kerabu atau pun sambal bersama ulam-ulaman. Maka bertambah-tambah lah lagi sedapnya. Jom cuba masak!
