Nasi Keladi

Nasi Keladi

Kak Yan memang gemar dengan masakan cina. Kalau boleh nak belajar lebih lagi masak masakan cina. Nak master sungguh-sungguh sampai kuali tu boleh terbang. Sampai bunyi sudip dengan kuali tu sama jer iramanya dengan yang dekat kedai masakan cina, tung tang, tung tang.

Teringin sangat.

Tak tahu lah kenapa Kak Yan suka sangat dengan masakan cina. Yang pasti ianya sedap dan senang di masak atau mungkin kah sebab Kak Yan tinggal lama di kawasan yang majoriti penduduknya berbangsa cina.

Entah lah.

Atau mungkin Kak Yan terlalu merindui kenangan silam bersama kawan-kawan dan pekan Kampar yang dahulu.

Banyak pengalaman manis dan makanan-makanan yang tak boleh di lupakan semasa Kak Yan tinggal di sana dulu. Air sarsi mamak sebelah kedai buku, mee mamak kedai hijau, ais kacang super sedap yang sampai sekarang tak ada lagi boleh lawan, laksa Pak Cik ghafoor, egg tart depan stesyen bas dan banyak lagi makanan yang tiada tandingannya.

Tapi sekarang, semuanya dah tak ada. Yang di ‘highlight’kan sekarang hanyalah cafe-cafe mewah dan makanan ‘fast food’. Dah hilang suasana pagi, petang dan malam yang ‘happening ‘ di Kampar.

Jadi bila Kak Yan muatkan semua kenangan dan cerita manis di dapur di dalam buku tersebut, baru lah Kak Yan puas hati. Bukan semua makanan di kenang atas sedapnya. Kadangkala memori yang mengiringinya yang menjadikan ianya istimewa.

Atas sebab itu lah Kak Yan menulis buku masakan yang bertajuk “Cerita Dari Dapur”. Buku yang banyak memaparkan cerita kehidupan dan bagaimana Kak Yan jatuh cinta memasak. Semuanya terkandung di dalam buku tersebut. Di dalam buku tersebut jugak Kak Yan muatkan resepi-resepi masakan cina yang Kak Yan sangat suka.

Berbalik kepada resepi kita hari ini. Kak Yan berkongsi salah satu resepi yang termuat di dalam buku “Cerita Dari Dapur”. Dah banyak kali Kak Yan masak dah. Sedap dan simple.

Kak Yan suka masak nasi yang mengandungi pelbagai rasa, warna dan tekstur. Nasi keladi ini adalah salah satu daripadanya. Rencah udang kering menjadikan nasi ini wangi dan campuran pelbagai sos menjadikan nasi ini sangat sedap.

Sekali-sekala kita ubah resepi nasi yang biasa kita masak di rumah kepada nasi keladi ini apa salahnya kan.

Boleh cuba buat nasi ini ikut resepi di bawah ini.

“Selamat Mencuba”.

Nasi Keladi

Bahan-bahannya:

500 gram beras putih
600 liter air
200 gram isi ayam(Didadukan)
4 keping cendawan shitake kering(Direndam sehingga lembut)
2 ½ sudu besar udang kering
½ sudu teh serbuk ‘five spice”
1 ulas bawang putih(Dicincang halus)
2 ulas bawang merah kecil(Dihiris halus)
200 gram keladi(Didadukan)
4 sudu makan minyak masak
Sos

1 sudu teh gula
1/2 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu teh minyak bijan
½ sudu teh garam
Hiasan:

3 sudu makan bawang goreng
3 tangkai daun bawang(Dipotong pendek)
3 tangkai daun ketumbar(Dipotong pendek)
Cara membuatnya:
Panaskan minyak di dalam kuali.
Masukkan udang kering dan masak sehingga terbit baunya.
Masukkan bawang merah, bawang putih. Masak sehingga wangi.
Masukkan ayam, keladi, cendawan shitake dan perasa. Kacau sebati.
Masukkan beras.air dan bahan-bahan perasa. Kacau sebati
Alihkan kesemua nasi ke dalam periuk nasi elektrik dan masak seperti biasa.
Hias nasi dengan bawang goreng, daun bawang dan daun ketumbar

Leave a Reply