Sepatutunya dah lama Kak Yan kongsi resepi terung ni. Ramai yang tanya resepi ini semasa Kak Yan upload gambar terung goreng berlada ini di instagram.
Tapi itu lah, dua hari ini memang Kak Yan sibuk sikit. Ada urusan yang perlu dibereskan sampai tak sempat menghadap laptop.
Masak terung goreng ini memang boleh menaikkan selera. Anak-anak Kak Yan mula suka makan terung semenjak mereka makan terung masak macam ini. Kalau dulu Kak Yan dan suami sahaja yang rembat lauk ni. Tapi sekarang satu keluarga suka. Itu lah sebabnya kalau masak terung goreng berlada ni kena masak banyak.
Bagi Kak Yan, nak sedap masak terung ni terletak pada sambalnya. Kalau pedas sangat tak sedap dan kalau tak pedas pun tak sedap. Kalau Kak Yan rasa nak buat sambalnya berwarna hijau atau orang kata sambal hijau, Kak Yan akan tambahkan sedikit cili hijau. Tujuannya ialah nak bagi seimbang rasa pedasnya.
Bukan itu sahaja, rasa pedasnya kena juga diseimbangkan dengan rasa masam, masin dan manis. Dalam resepi ini, Kak Yan memilih cuka sebagai bahan untuk bagi rasa masam. Kalau bubuh asam jawa atau asam keping macam rasa tak ‘kick’ sangat. Lagi pun bau cuka itu sangat kena dengan terung.
Rahsia nak sedap masak cili berlada ini ialah semua cili itu kena tumbuk.
Iye tuan-tuan dan puan-puan. Semua cili tu kena tumbuk.
Ada ke yang sanggup menumbuk cili banyak-banyak tu guna lesung?
Ok, Kak Yan memang tak lah. Dah ada blender ni guna sahaja lah kan.
Lepas kisar cili tu, tapis kan aje. Biar airnya keluar. Biar cili itu sahaja yang kita gunakan. Nanti bila tumis, cili itu cepat garing dan sedap.
Itu lah salah satu tips nak bagi sambal berlada itu sedap. Nak masuk cili apa pun tak kisah, janji rasa pedas itu seimbang. Jom tengok resepi, jom…
