Sayur Sedap – Kubis Brussel Tumis Bawang Putih

Sayur Sedap – Kubis Brussel Tumis Bawang Putih

Selalunya dipanggil brussel sprouts.

Kak Yan memang dah lama perhati sayur ini setiap kali Kak Yan pergi Supermarket Jaya. Memang teringin nak makan tapi tak tau nak masak macamana. Satu lagi sebabnya ialah harganya yang agak mahal.

Tapi kan perasaan nak tahu macamana rasa brussel sprouts ini semakin membuak-buak. Teringinnya sampai tak boleh nak bawak bincang.

Kak Yan ni memang suka makan sayur. Kalau sayur yang Ah Chuan jual pagi-pagi tu boleh kata semuanya Kak Yan dah cuba. Kadang-kadang nama sayur tak tau tapi semuanya Kak Yan dah cuba masak.

Bodek-bodek sikit mak-mak cik yang datang beli lauk-pauk tu macamana nak masak sayur tu, terus la Kak Yan cuba.

Sedap sebenarnya makan sayur ni. Kalau kena cara dan bahannya memang menyelerakan.

Kadang-kadang ada sayur yang sedap stir-fry sahaja. Yang tu kena guna api yang kuat dan mesti ada penutup kuali.

Kak Yan punyalah google macamana nak masak brussel sprouts ni?

Tak pernah lagi keturunan Kak Yan masak sayur macam ni.

Tapi rupa dia comel kan. Kecik-kecik aje. Dan warna hijau dia sangat menarik. Bila masak pun, warna hijaunya tetap ada.

Brussel sprouts ni macam sepupu sepapat dengan kubis. Tapi ianya lebih ranggup. Masaknya jangan beria-ria sangat. Masak stir -fry jer dah cukup.

Berbalik kepada kisah masak sayur ni tadi kan. Kak Yan jumpa resepi dia dekat Rasa Malaysia. Ada beberapa pilihanresepi untuk masak sayur ni. Kak Yan pilih yang paling simple.

Ni ha resepi dia

Kubis Brussel Tumis Bawang Putih

Bahan-bahannya:
400g kubis brussel (dibelah dua)
6 ulas bawang putih (dicincang kasar)
3 sudu makan minyak masak
1 sudu teh serbuk stok ayam
½ sudu teh garam
Cara membuatnya:
Panaskan minyak dan masukkan bawang putih.
Goreng sehingga keperangan. Angkat dan toskan.
Dengan menggunakan minyak yang sama, masukkan kubis brussel dan masak sehingga keperangan dan sedikit kehitaman.
Masukkan stok ayam dan garam. Gaul rata.
Masukkan semula bawang putih tadi. Gaul, tutup api dan boleh lah dihidangkan.

Leave a Reply

Recipe Rating