Ayam Pongteh

Ayam Pongteh

Masih teringat lagi tentang sedapnya masakan Nyonya semasa Kak Yan ke Melaka tempohari. Boleh dikatakan setiap hari kami akan makan di satu kedai Peranakan di Jonker Walk.

Itu lah satu kedai yang paling dekat dengan hotel tempat kami menginap. Nak jalan jauh lagi tak larat. Jauh sikit aje, tercungap-cungap Kak Yan. Kena pulak pakai mask. Habis basah satu badan berpeluh. Mask pun boleh basah dibuatnya.

Tapi Kak Yan tak kisah makan di kedai tu setiap hari. Makanannya sedap dan sangat autentik Peranakan.

Semua nasi yang dihidangkan adalah nasi pandan. Dihidangkan bersama pelbagai pilihan lauk. Ada rendang daging, ayam goreng rempah, ayam pandan dan ayam pongteh.

Disamping lauk tersebut, dihidangkan sekali sambal tumis, ikan bilis dan kacang goreng, timun dan telur rebus. Semuanya di letakkan cantik di atas pinggan.

Nasi pandannya ternyata tak bubuh santan. Sedap terasa bau pandan.

Jadi, Kak Yan pun cuba lah masak nasi pandan tanpa santan. Kak Yan hanya bubuh air daun pandan, bawang putih dan bawang merah yang di cincang dan juga garam.

Anak-anak Kak Yan kata sedap sangat. Terasa bau pandan. Tidak tenggelam dek bau santan. Cantik pun ye jugak.

Jadi, hari ini Kak Yan masak ayam pongteh bersama nasi pandan. Nak bagi lagi ‘real’, Kak Yan masak sambal tumis, rebus telur dan goreng ikan bilis dan kacang tanah. Rasanya kombinasi lauk ini sangat sesuai. Bila masuk jer ke dalam mulut, terus tak tahu nak kata apa.

Ayam pongteh ini senang sangat nak masak.Tak payah nak goreng ayam tu dulu. Tumis bahan, masuk ayam dan segala bahan dan tutup periuk atau kuali dengan penutupnya. Biarkan sahaja ianya mereneh sehingga ayam masak dan kuahnya pekat.

Senang kan…

Dua bahan penting yang menjadikan ayam pongteh ini ‘autentik’ ialah taucu dan gula melaka. Guna gula melaka yang asli kerana ianya tak manis sangat. Sedang-sedang sahaja manisnya.

Jom lah kita tengok resepi dahulu. Esok atau lusa boleh lah masak.

Ayam Pongteh

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (dipotong 16)
3 biji ubi kentang (dipotong wedges)
6 cendawan shitake (direndam sehingga lembut dan dipotong 2)
6 ualas bawang putih (dicincang)
1 biji bawang merah besar (dikisar)
1 1/2 sudu makan taucu
2 sudu teh kicap pekat
2 sudu besar sos tiram
2 sudu teh kicap biasa
1 sudu besar gula melaka yang telah dicincang
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
Cara membuatnya:
Panaskan minyak dan goreng ubi kentang separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Tinggalkan dalam 5 sudu besar minyak.
Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.
Masukkan taucu dan masak selama 1 minit.
Masukkan ayam, cendawan, ubi kentang, kicap pekat, kicap biasa, sos tiram dan gula melaka.
Kacau rata , perlahankan api dan tutup kuali atau periuk dengan penutupnya.
Masak sehingga ayam empuk dan kuahnya pekat.
Rasa dahulu sebelum bubuh garam kerana taucu agak masin.
Siap.

Leave a Reply

Recipe Rating