Mee Kari Kak Yan

Mee Kari Kak Yan

Mee kari yang paling awal Kak Yan makan ialah mee kari yang kakak kedua Kak Yan masak. Dah lama sangat dah. Masa tu Kak Yan baru masuk sekolah menengah. Mungkin sekarang, beliau pun dah tak ingat resepi mee kari itu

Lepas ini Kak Yan akan cuba ingat dan masak mee kari tersebut. Seingat Kak Yan, mee kari dia berwarna kuning. Yang paling bestnya, beliau letak ubi kentang rebus yang dipotong ‘wedges’. Tak pasti samada kentang tu dia potong dulu atau di rebus dulu. Yang bestnya bila kentang tersebut di makan bersama mee dan kuahnya, adoiii sedapnya. Kuahnya pekat dan penuh rasa kari. Ada pulak sawi dan taugeh sebagai bahan sampingannya. Memang betul-betul menggamit nostalgia.

Kemudian, kakak sulong Kak Yan pulak masak mee kari yang tak kurang jugak sedapnya. Rasanya beliau masak masa raya lebih dari sepuluh tahun yang lepas. Beliau guna banyak serai dan kuahnya agak kemerahan. Yang paling istimewanya mee kari kakak sulong ini ialah ianya di makan bersama daun pudina. Alahai lagi sekali Kak Yan bangga dengan mee kari dari kedua-dua kakak Kak Yan.

Jadi hari ini, Kak Yan gabungkan kedua-dua resepi tersebut. Maka jadi lah resepi mee kari Kak Yan.

Yang istimewanya tentang mee kari Kak Yan ini ialah ianya menggunakan air rebusan ikan tamban. Bila dicampurkan sekali air rebusan ikan tamban ataupun ikan bilis, rasa manis ikan itu akan menjadikan rasa kuah tersebut ‘fresh’. Tak muak bila makan banyak. Lagi pun ianya dapat menjimatkan duit. Tak perlu nak guna segala seafood yang mahal-mahal. Air rebusan tersebut sudah cukup menaikkan rasa kari tersebut. Sedap yakmat katanya.

Bagi sesiapa yang nak ubah citarasa mee kari ikut cara Kak Yan, dipersilakan. Boleh tengok video Kak Yan dan rujuk resepi di bawah.

Boleh lah ‘like’ dan ‘subscribe ‘ youtube channel Kak Yan ye. Terima Kasih.

Mee Kari Kak Yan

Bahan-bahannya:
1 kilo mee kuning (dicelur didalam air panas dan ditoskan)
1 sudu besar serbuk cili
3 sudu besar serbuk kari daging
200g ikan tamban
3 kiub pati ikan bilis
100g udang kering (direndam dan ditimbuk halus)
200g isi ayam
500g santan pekat
5 tangkai kacang panjang (dipotong pendek)
15 biji tauhu pok/pong (dibelah dua)
5 batang serai (dititik)
5 sudu besar minyak
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Bahan Penumis
2 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga lawang
Sedikit daun kari
Bahan Kisar
3 labu bawang merah besar
5ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan Sampingan
Telur rebus
Isi ayam yang disiat
Daun sup
Daun bawang
Bawang Goreng
Limau Kasturi
Cara membuatnya:

Didihkan air di dalam periuk dan masukkan ikan tamban, pati ikan bilis dan isi ayam. Biarkan mendidih.
Apabila isi ayam sudah masak, tutup api dan keluarkan isi ayam.
Siat-siatkan isi ayam dan ketepikan.
Sementara itu, panaskan minyak dan masukkan bahan penumis.
Masukkan bahan kisar dan masak sehingga garing dan wangi.
Masukkan serai dan udang kering.
Kacau sebentar dan kemudian masukkan serbuk kari daging dan serbuk cili.
Tapis dan tuangkan stok ikan tamban yang masih panas ke dalam kuali. Kacau rata.
Masak sehingga mendidih dan terbit minyak dan kemudian masukkan santan, garam dan gula.
Masukkan kacang panjang dan tauhu pok.
Biarkan kuah mendidih lagi. Perasakan dengan garam dan kemudian boleh lah tutup apinya.
Hidangkan mee kari bersama bahan sampingan.


Leave a Reply