Makan nasi goreng ni tak pernah jemu. Macam-macam jenis nasi goreng ada dijual. Macam-macam nama menarik pulak tu. Rambang mata nak pilih kalau makan kat kedai.
Kak Yan ingat lagi masa mula-mula nasi goreng diperkenalkan di kedai-kedai makan. Punyalah ‘excited’. Mana taknya, bila dalam menu ada nasi goreng U.S.A. Siap fikir macamana lah rasanya nasi goreng orang putih.
Masa tu, arwah bapak Kak Yan suka bawak makan nasi goreng dekat gerai-gerai makan di depan Stesen Keretapi, Ipoh. Pilihan nasi goreng Kak Yan selalunya ialah Nasi Goreng Ayam. Sedapnya dapat makan nasi goreng lain dari nasi goreng yang selalu masak di rumah.
Sekurang-kurangnya sebulan sekali kami akan pergi ke Ipoh hanya untuk makan nasi goreng. Gerai-gerai tu pulak hanya buka pada waktu malam sahaja. Bersusah payah arwah bapak nak menggembirakan hati anak bongsu ni sedangkan beliau tak berapa nampak ‘drive’ malam.
Selepas bapak meninggal, mak pulak bawak Kak Yan pergi. Naik bas dari Kampar ke Ipoh. Kadang-kadang kakak sulong belanja makan di sana.
Sekarang ni kedai tu pun dah tak ada dah. Pilihan menu nasi goreng pun makin bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Makin lama makin banyak pilihan.
Nasi goreng kunyit berempah ini ataupun dikenali sebagai ’Indian Fried Rice’ agak berlainan sikit rasanya. Rasa rempah yang dicampurkan bersama kunyit, menghasilkan nasi goreng yang wangi. Tak perlu menggunakan rencah seperti ayam, udang ataupun daging. Ini nasi goreng kosong sahaja. Kalau nak lebih ‘fancy’ boleh dimakan bersama ayam goreng.
Kak Yan dah rasa nak buat lagi ni…Jom masak nasi goreng ni. ,
