Bila sebut nama rendang pedas, bukan sahaja terbayang tentang betapa sedapnya rasa rendang tersebut tetapi mula lah terkenang betapa seronoknya tiap kali kami sekeluarga buat rendang pedas semasa nak raya.
Kalau sehari sebelum raya, dipanggil ‘hari masak’. Semua orang yang ada dekat dalam rumah kena masuk dapur. Kena menyumbang apa yang patut untuk hidangan hari raya.
Masa itu lah baru nak buat biskut raya, kek raya bagai.
Dulu kalau sambut raya dah rasa macam nak sambut kenduri. Kena pulak ahli keluarga besar. Memang meriahnya lain macam sungguh.
Yang paling best ialah kumpulan yang buat rendang pedas.
Kami ambil tikar, letak kuali besar dekat tengah-tengah dan masing-masing dah siap sedia dengan pisau dan tempat pemotong (chopping board).
Maka bermula lah sessi potong memotong. Ada yang potong daging. Ada yang hiris bawang, halia, serai dan daun kunyit. Lepas semua dah dihiris halus, kami masukkan kesemuanya ke dalam kuali bersama santan, cili kisar dan asam keping. Kalau masa tak ada santan yang siap berperah, kami akan perah santan guna kain. Santan yang agak cair akan dimasukkan dahulu manakala yang pekat akan dimasukkan kemudian.
Selepas semua bahan di masukkan ke dalam kuali barulah diletakkan kuali di atas dapur. Masak rendang cara begini agak lama sedikit tetapi hasilnya memang puas hati.
Tapi, setiap kali masak memang masak dalam kuantiti yang banyak. Kadang-kadang kami guna kawah. Masak guna kawah ni memang lain sedapnya. Sekarang nak cari kawah pun susah.
Rasanya generasi yang ke depan ni, kawah pun tak tau rupa macamana kan.
Apapun, boleh tengok video macamana Kak Yan masak rendang pedas daging iku cara orang Perak di bawah ini. Resepi pun ada Kak Yan letakkan sekali. Cuba lah ye.
.
