Shakshuka

Shakshuka

Antara benda yang memberatkan kepala memikir setiap malam sebelum tidur adalah apa nak masak untuk esok. Bukannya setakat malam, dari petang lagi dah fikir benda yang sama.

Kalau dah ada idea dan perancangan nak masak apa untuk esok harinya, memang tahak kerajinan memasak agak tinggi. Bangun pagi dah tahu nak keluar apa bahan yang nak dimasak. Baru lah mood baik sepanjang hari dan masa memasak pun jadi lebih singkat.

Kena pulak masa pkp, asyik nak masak aje. Minum pagi, minum petang dan supper memang kena ada.

Untung suami dan anak-anak tak memilih makanan. Apa saja yang dimasak, semua mereka makan. Tapi Kak Yan suka nak masak benda yang baru dan special untuk mereka.Kalau boleh tiap-tiap hari nak masak macam tu.

Biar dia orang menjerit seronok tengok makanan yang tak pernah mereka makan tersedia di atas meja. Masa tu lah boleh nampak mata mereka keluar bintang dan muka berseri gembira ye dak.

Itu lah sebabnya Kak Yan suka mencuba resepi dari negara luar. Pilih yang senang dan murah. Masa pkp ni kena catu sikit bahan-bahan memasak. Kena jimat.

Jadinya Kak Yan pilih masak Shahshuka ni. Dengar nama macam susahnya nak masak kan. Almakhlum lah asalnya pun dari Mediterranean.

Shakshuka ni sesuai dijadikan hidangan untuk sarapan. Lepas masak aje terus makan. Boleh dimakan bersama roti bakar atau makan macam itu sahaja.

Yang penting, telur tu jangan terlebih masak dan tomato tu kena guna tomato yang ‘fresh’.

Kak Yan lebih suka guna pes tomato dari guna tomato puri. Sebelum ini Kak Yan guna tomato puri. Memang lah tomato puri akan memberi warna yang cantik tetapi dari segi rasanya agak kurang sikit. Apapun kalau tak ada pilihan, boleh saja guna tomato puri.

Resepi ada di bawah dan cara nak masaknya ada di youtube. Boleh klik disini

Shakshuka

Bahan-bahannya:
3 sudu besar minyak zaitun
2 biji bawang merah besar (didadukan)
5 ulas bawang putih (dihiris halus)
1/2 biji lada benggala merah (didadukan)
2 biji tomato (di belah 8)
3 sudu besar pes tomato
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu teh paprika
1 sudu teh cayenne
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh garam
5 atau 6 biji telur
Sedikit air
Cara membuatnya:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga layu.
Masukkan lada benggala dan tomato. Kacau rata.
Masukkan serbuk jintan putih, paprika, cayenne, lada hitam dan garam. Kacau rata dan tambah sedikit air.
Masak sehingga kuah agak kering dan tomato hancur.
Buatkan lubang dan letakkan telur satu persatu.
Tutup kuali dengan penutupnya dan biarkan telur masak tetapi bahagian kuningnya masih berair.
Tabur daun ketumbar diatasnya jika suka.
Sedap dimakan bersama roti bakar.

Leave a Reply

Recipe Rating