Asam Pedas Lemak Ikan Bawal

Asam Pedas Lemak Ikan Bawal

Semenjak buat prep untuk Chef Wan Sabtu lepas, badan ni rasa penat betul. Sakit sini dan sakit sana. Mungkin badan ni dah lama tak bergerak sangat. Maka mula lah jadi macam itu.

Kadang-kadang rehat banyak sangat pun boleh sakit-sakit badan jugak kan. Dah umur macam ini memang nak sangat badan sihat. Nak boleh jalan laju-laju.

Dalam pada itu, Kak Yan sibuk jugak meneruskan 30 days challenge untuk you tube Kak Yan. Ha, bagi sapa yang tak subscribe tu, sila lah subscribe ye.

Dulu Kak Yan pernah buat 30days challenge untuk IGTV Kak Yan. Tak la susah sangat sebab hanya tunjuk tangan sahaja. Kali ini kena lah proper sikit kan.

Apa pun, walaupun penat Kak Yan rasa sangat puas. Dulu Kak Yan teringin nak buat kelas memasak. Teringin nak kongsi resepi dan tips memasak.

Dah siap buat plan macam-macam tapi bila ingatkan yang Kak Yan tak pandai buat marketing dan modalnya pun agak besar, Kak Yan simpan dulu hajat tersebut.

Kemudian Kak Yan ingat nak buat buku Kak Yan yang ke sepuluh. Kak Yan plan kali ni nak buat buku yang mengandungi resepi-resepi yang Kak Yan dan keluarga suka. Resepi asam pedas lemak ikan bawal ini termasuk salah satu daripada resepi tersebut

Tapi apakan daya, selepas pkp suami Kak Yan kata kena lah tunda rancangan nak buat buku tu. Nampak gayanya ekonomi tak tahu macamana keadaannya selepas pkp.

Fikir punya fikir, Kak Yan pun mula lah buat video memasak dan upload di youtube. Sebelum ini Kak Yan tak berapa nak serius dengan youtube. Tapi selepas ini kenalah serius betul.

Jadi, ini lah ceritanya tentang ‘routine’ Kak Yan sekarang. Sibuk jugak ke hulu dan ke hilir sebab nak buat vidoe ni. Itu lah yang Kak Yan rasa macam nak cari pil yang boleh bagi tenaga berganda-ganda dekat Kak Yan. Kalau boleh nak turunkan lah sedikit berat badan kan. Baru lah senang nak bergerak.

Hari ini Kak Yan nak kongsi resepi asam pedas yang ada santan. Satu kelainan yang pasti menjanjikan kesedapan yang berbaloi-baloi.

Boleh lah cuba ye…

Asam Pedas Lemak Ikan Bawal

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan bawal(dikelar)
3 sudu makan cili kisar
2 keping asam gelugur
1 batang serai(dititik)
3 tangkai daun kesom
1 biji tomato
¼ cawan minyak masak
2 cawan santan
1 cawan air
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa


Bahan Kisar
2 bawang merah (sederhana besar)
5 ulas bawang putih
1 cm halia
1 cm kunyit
1 inci belacan(optional)
Cara membuatnya:
Gaul ikan bawal bersama garam dan serbuk kunyit.
Panaskan minyak dan goreng sehingga garing. Angkat dan toskan.
Sementara itu, tinggalkan dalam 3 sudu makan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga garing.
Masukkan cili kisar dan biarkan sehingga ianya naik minyak.
Masukkan gula, asam gelugur dan kacau seketika.
Tuangkan santan, air dan masukkan daun kesom.
Perasakan dengan santan dan gula,
Masukkan ikan dan tomato.
Masak sehingga kuah mendidih. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

Leave a Reply

Recipe Rating