Go Perak – Paru Masak Lada Hitam Bersantan

Go Perak – Paru Masak Lada Hitam Bersantan

Orang Perak rata-rata panggil Paru tu Lampong. Dah duduk Kuala Lumpur barulah saya dengar orang cakap paru. Sama jugaklah dengan Air Sirap. Di tempat saya biasanya dipanggil Air Manis.

Kalau dulu kami suka masak Gulai Lemak Lampong semasa kenduri. Masukkan sekali ubi kentang dan simpulkan daun kunyit.  Bubuh kunyit hidup biar warnanya menyerlah dan asli.

Ada jugak yang suka masak Rendang Lampong. Selalunya Rendang Lampong ini di masak semasa Hari Raya. Adoi dengar lauk-pauk macam ni rasa macam nak balik kampung pulak.

Apa pun kalau masak paru ni, wajib parunya direbus dulu. Rebuslah selama mana pun asalkan dia lembut. Kalau tak lembut memang tak sedaplah jadi masakannya nanti. Kalau nak masak paru berlada, kenalah goreng pulak.

Tang tu yang rasa malas. Kena pakai minyak yang banyak dan paru tu pulak suka meletop-letop.

Berbeza dengan memasak paru yang saya sharekan hari ni. Tak perlu goreng. Tak perlu nak bertarung dengan peristiwa meletop-letop tu. Lepas paru direbus, dipotong nipis dan terus terjunkan ke dalam kuali atau periuk. Senang kan.

Masak paru lada hitam bersantan ini pulak sangatlah mudah. Tak banyak bahan . Tak perlu masak lama tapi rasanya sangatlah sedap. Setakat santannya pecah dan keluar minyak, sudah boleh tutup api dah. Pada tahap itu maknanya santan dan bahan-bahan lain sudah mesra.

Rasanya pulak boleh ‘adjust’ sendiri. Kalau nak pedas, boleh tambah lagi lada hitam. Tapi bab bawang dan santan memang kena banyak. Tak ada kompromi. Barulah masak ini menjadi. Selamat mencuba!

Paru Masak Lada Hitam Bersantan

Paru Masak Lada Hitam

Bahan-bahannya:
1 kilo paru (Direbus dan dipotong nipis)
1 kilo santan pekat
3 biji bawang merah besar (Dimayang)
3 sudu besar serbuk lada hitam
1 helai daun kunyit (Disimpul)
Garam secukup rasa
 
Cara membuatnya:
Masukkan kesemua bahan ke dalam kuali/periuk.
Masak sehingga kuahnya kering dan santan naik minyak.
 


Leave a Reply

Recipe Rating