Penjan adalah salah satu manisan negeri Perak yang dah semakin dilupakan. Penjan adalah ubi kayu yang direbus sehingga lembut dan kemudiannya dimasak dengan gula merah.
Sungguh senang membuatnya tapi ia semakin tidak dikenali terutama oleh generasi sekarang.
Seingat saya Arwah bapak suka sangat penjan. Tapi disebabkan badan Bapak banyak betul angin, selalunya bapak akan makan sikit aje. Tapi setiap kali ada ubi kayu di rumah, bapak akan suruh mak buat penjan.
Kak Yan memang suka penjan. Satu kerana Kak Yan memang suka ubi kayu dan kedua kerana Kak Yan suka apa-apa kuih yang bersalut dengan gula merah.
Kali terakhir orang buatkan Kak Yan penjan ialah Arwah Mak Cik Bibah, jiran kami di Taman Melayu Jaya, Kampar.
Ingat suatu petang Mak Cik Bibah datang naik basikal hantar penjan ke rumah. Sanggup dia datang hantar sebab dia tahu Kak Yan suka sangat Penjan. Bertuahnya rasa masa tu. Disayangi oleh orang sekeliling.
Itulah … Mak Bapak duduk kat mana-mana pun mesti jiran tetangga kami anggap macam sedara sendiri. Begitu jugalah dengan Mak Cik Bibah sekeluarga. Baiknya Mak Cik Bibah kepada kami sekeluarga juga tak dapat terbalas oleh kami. Selepas bapak meninggal Mak Cik Bibah selalu datang ke rumah sebab nak gembirakan hati mak.
Mak Cik Bibah pergi menghadap Ilahi lepas raya yang lepas. Banyaknya kenangan dengan Mak Cik Bibah.
Semoga hubungan dengan anak-anak Mak Cik Bibah tak akan putus. Semoga kenangan manis semua itu akan kekal segar dalam diari kehidupan kami semua.
