Lauk Pauk  – Gulai Lemak Bayam Merah Bersama Petai

Lauk Pauk – Gulai Lemak Bayam Merah Bersama Petai

Bila ingatkan balik masa Kak Yan kecil dulu, Kak Yan memang tak suka makan sayur.Kalau makanan dalam pinggan ada sayur  memang Kak Yan akan pilih dan keluarkan sayur dari dalam pinggan tu.

Itulah sebabnya bila Kak Yan dengar cerita mak mak tentang bagaimana anak –anak mereka tak suka makan sayur Kak Yan tersenyum aje.

Kak Yan dulu pun macam tu.

Tapi Arwah Bapak Kak Yan memang marah kalau anak-anak beliau tak makan sayur. Arwah Bapak Kak Yan ni garang tau. Kalau dia kata makan maka kenalah makan. Kalau makan semeja memang beliau akan cedokkan sayur ke dalam pinggan Kak Yan. Masa tu rasa macam nak nangis bila tengok sayur dalam pinggan.

Seingat Kak Yan masa tu hanya boleh telan sayur bayam sahaja. Itupun sebab warnanya merah dan bila masak gulai lemak jadi warna ungu. Mak pulak suka masak gula lemak bayam. Jadi taklah rasa sayurnya sangat.

Lepas tu Kak Yan jadi peminat gulai lemak bayam ungu. Dan Kak Yan jugak peminat petai sejak dari kecil. Makanya Gulai Lemak Bayam Ungu dan Petai adalah cinta sejati Kak Yan.

Gulai Lemak Bayam Merah Bersama Petai.

Bahan-bahannya:
2 ikat bayam merah
250g santan
1 biji bawang merah(dihiris halus)
2 biji cili merah(dihiris halus)
1 biji cili hijau(dihiris halus)
2 sudu makan petai
2 sudu makan ikan bilis
Air secukupnya
Garam secukup rasa
 
Cara membuatnya;
Basuh dan toskan bayam dengan bersih
Masakkan santan bersama air seketika
Apabila mula mendidih, masukkan bawang, ikan bilis dan bayam.
Kacau sahingga bayam separuh masak
Masukkan petai, cili hijau dan cili merah.
Perasakan dengan garam
Bila kuah mendidih dan bayam sudah lembut, tutup api.

Leave a Reply