Go Perak – Cerita Bingka Pisang

Go Perak – Cerita Bingka Pisang

Buat kuih tradisional ni memang kena pakar barulah menjadi. Kalau dulu. Kak Yan belajar buat kuih ni ikut sesuka hati aje. Sahlah banyak yang tak menjadi ye tak. Dulu pulak selalunya guna sukatan cawan. Apa-apa sahaja jenis dan saiz cawan yang ada kat rumah boleh guna. Tu yang tak berapa nak menjadi.

Sekarang dah senang semuanya pakai sukatan timbang dan ada proper resepi.

Yang sebenarnya (ini adalah satu confession ya) Kak Yan bukanlah jenis orang yang pandai buat kuih tradisional. Makan aje suka.

Paling Kak Yan suka ialah bingka tepung beras. Yang warna putih tu. Tapi tak tau buat pulak. Pernah cuba sekali guna resepi di Google tapi tak menjadi. Terlampau lembik dan lemak sampai jadi macam bubur som som.

Apa pun, salah satu bingka kegemaran kami sekeluarga ialah bingka pisang.

Bingka pisang yang sedap kenalah banyak pisangnya dan garing dekat tepi. Itulah sebabnya acuan bingka ada lubang kat tengah. Tujuannya nak bagi bingka tu garing kat tepi. Bila makan seketul pun puas. Terasa nikmatnya.

Kat rumah Kak Yan, bila sampai bab membakar bingka pisang, itu territory suami Kak Yan. Bukanlah nak memuji tapi bingka pisang suami Kak Yan memang sedap (eh dah terpuji la plak). Kesian dia. Teringin nak makan kuih macam ni tapi isteri dia buat tak tahu aje.

Kadang-kadang kita kena main politik jugak kat dapur. Nak jugak orang lain masakkan untuk kita sesekali kan. Siapa setuju?

Apa pun, bingka pisang versi suami Kak Yan ni merupakan bingka pisang versi Perak. Dia la yang cakap. Kak Yan angguk je kepala setuju. Nanti nak berdebat dia suruh Kak Yan masak pulak kan. Nampak tak permainan Kak Yan di situ?

Dan lagi satu ….kami orang Perak sebenarnya panggil bingka ni bengkang. Bila dah duduk KL ni pulak tukar jadi bingka. Krik Krik Krik.

Bingka Pisang

Bingka Pisang

Bahan-bahannya:
20 biji pisang emas
2 cawan tepung gandum
2 cawan santan
1 cawan gula
secubit garam
sedikit esen vanilla
1 biji telur
 
Cara membuatnya:
Panaskan ketuhar
Lenyekkan pisang dan masukkan telur.
Masukkan tepung, gula, santan, garam dan vanilla
Campurkan kesemua bahan  dan gaul sehingga sebati
Masukkan ke dalam acuan bingka/kek chiffon dan bakar pada suhu 200 c dalam 11/2 jam hingga 2 jam.


Leave a Reply

Recipe Rating